Oleh Muhammad Nizam Ab. Ghani
KARYA memoir merupakan himpunan coretan kehidupan peribadi tanpa mengira latar belakang penulisnya memang menarik untuk dibaca dan dapat menyuntik inspirasi kepada pembacanya. Catatan pengalaman yang pernah ditempuh oleh pengarang dicurahkan sepenuhnya dalam memoir mereka. Ini merentasi tempoh masa dari zaman kanak-kanak hinggalah pengarang mencapai kemuncak kerjayanya. Ada antara memoir tersebut yang berjaya menjadi karya terlaris seperti A Doctor in The House tulisan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir.Buku Given In Trust-Tun Ahmad Sarji: Memoirs merupakan karya biografi yang dihasilkan oleh mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan diterbitkan oleh MPH Group Publishing Sdn Bhd.
Memoir ini menyusul setahun selepas MPH Group Publishing Sdn Bhd menerbitkan buku biografi Ahmad Sarji berjudul Ahmad Sarji Attaining Eminence.
Ahmad Sarji dilahirkan pada 29 September 1938 di Tapah, Perak. Beliau bercita-cita untuk menjadi pegawai kerajaan iaitu sebagai pegawai daerah sejak usianya 10 tahun. Ahmad Sarji telah terdedah kepada sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah yang dikendalikan oleh penjajah British kerana negara ketika itu masih belum mencapai kemerdekaan.
Berkat kerajinan dan kepintaran beliau dalam akademik, Ahmad Sarji berjaya menjejakkan kakinya ke menara gading dengan memasuki Universiti Malaya pada tahun 1957. Menurut Ahmad Sarji dalam memoirnya, hanya beberapa orang sahaja termasuk beliau yang berjaya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat kepujian- satu pencapaian yang jarang dimiliki oleh penuntut Melayu pada zamannya.
Memandangkan Ahmad Sarji merupakan penerima biasiswa Pejabat Perjawatan Persekutuan (kini Jabatan Perkhidmatan Awam - JPA) maka selepas menamatkan pengajiannya pada tahun 1961 beliau ditawarkan pekerjaan dalam kerajaan sebagai pegawai Perkhidmatan Awam Malaya (MCS).
Beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah di Kelang sebelum dipindahkan ke Negeri Sembilan dan diamanahkan beberapa jawatan iaitu sebagai setiausaha Dewan Undangan Negeri, dan Penolong Pegawai daerah Seremban. Sinar kerjaya Ahmad Sarji di Negeri Sembilan semakin cerah apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Rembau pada usia 25 tahun pada tahun 1963.
Sebagai seorang Pegawai Daerah yang termuda dilantik ke jawatan tersebut, Ahmad Sarji telah cuba melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin walaupun beliau menyedari bebanan tugas yang digalasnya cukup mencabar.
Bagi Ahmad Sarji pengalaman beliau semasa bertugas di peringkat daerah amat bermakna baginya. Banyak pengalaman yang beliau timba sebagai pentadbir daerah tambahan pula beliau amat berminat terhadap kerja yang memerlukan beliau bertugas di luar pejabat.
Kecintaan yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan menyebabkan Ahmad Sarji terpilih untuk mengikuti kursus pasca ijazah peringkat diploma dan kursus sarjana pentadbiran awam yang masing-masing diperolehnya di Belanda dan Amerika Syarikat.
Peluang melanjutkan pelajaran digunakan sepenuhnya untuk mempelajari kaedah moden dalam pengurusan perkhidmatan awam yang akhirnya banyak membantu beliau apabila menjawat menjawat jawatan yang lebih tinggi dalam kerajaan.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Ahmad Sarji dalam perkhidmatan awam, beliau telah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussin Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Kredibiliti Ahmad Sarji sebagai seorang pentadbir sektor awam teruji semasa era Tun Abdul Razak apabila beliau diamanahkan sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dari tahun 1973 hingga 1979.
Ahmad Sarji merupakan individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengasaskan LPP secara komprehensif. Pastinya salah satu cabaran beliau semasa di LPP ialah membentuk pasukan pengurusan yang mantap bagi menggerakkan sebuah agensi Kerajaan yang baru ditubuhkan itu.
Selain itu cabaran kedua Ahmad Sarji adalah merangka undang-undang khusus berkaitan penubuhan LPP bagi memastikan operasinya berjalan lancar dengan punca kuasa yang jelas. Setelah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai perintis di LPP Ahmad Sarji meneruskan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Timbalan Ketua Unit Perancangan Ekonomi, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Pengarah Mara dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Kerjaya Ahmad Sarji mencapai kemuncaknya apabila beliau diberi kepercayaan oleh Dr. Mahathir untuk memikul amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara selama enam tahun lapan bulan. Sebagai penyandang kerusi nombor satu perkhidmatan awam, Ahmad Sarji cukup komited dan teliti dalam melaksanakan tugasnya.
AspirasiOleh kerana perkhidmatan awam merupakan entiti yang melaksanakan aspirasi dan dasar kerajaan maka gerak kerja setiap penjawat awam hendaklah jelas sistematik. Bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan awam Ahmad Sarji telah memperkenalkan banyak pekeliling sebagai garis panduan kepada penjawat awam.
Antaranya ialah Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) berkaitan penyediaan Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja. Tujuan MPK dan FM disediakan adalah bagi memudahkan setiap penjawat awam mengetahui senarai tugas dan proses kerja masing-masing.
Kesungguhan Ahmad Sarji yang mengeluarkan pelbagai pekeliling itu menyebabkan beliau diberi jolokan 'bapa pekeliling'. Walaupun telah bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1996, namun ia bukan bermakna Ahmad Sarji terus menyepikan diri dari persada negara.
Khidmat bakti beliau selepas persaraan terus ditagih dengan pelantikannya sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam (IKIM) (1996-2009) serta sebagai pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 1996 hingga kini.
Sesungguhnya penghasilan memoir ini menambahkan lagi senarai koleksi biografi hasil pena bekas pegawai tinggi kerajaan yang berkhidmat dalam skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Memoir yang setebal 922 muka surat dan dipecahkan kepada 17 bab ini memang sesuai dijadikan rujukan dan bacaan para penjawat awam khususnya pegawai PTD.
No comments:
Post a Comment